Kursus fotografi dalam perkhidmatan

Era fotografi analog tidak ramai orang menganjurkan kursus. Semasa itu kalau ada mesti syarikat seperti Kodak, Fuji, Iford, Eng Tong sahaja yang menganjurkannya. Kalau persatuan hanyalah ASFON.  ASFON waktu itu masih bergerak di Kuala Lumpur. tidak seperti sekarang mempunyai beberapa cawangan. Manakala syarikat swasta ialah Reduan Fotomedia ( pemiliknya Allahyarham Pak Wan ) dan Raja Harun Reduan. Dalam perkara ini Pak Wan lebih gigih dan saya lihat anak muridnya ramai.

Saya dan Khalil sering turut serta dalam siri-siri kursus ini. Oleh kerana zaman itu tidak ramai orang Melayu yang menjadi jurufoto maka kami dari kalangan kakitangan kerajaan bernasib baik mendapat undangan dari mereka. Fotografi analog memamglah azab, namun demi kerjaya semua orang berusahalah juga untuk belajar.

Nama-nama seperti Hamzah Hurmin (NST), Salleh Osman (NST), Ariff Azahari (NST) adalah penceramah yang pernah saya ikuti kursus mereka. Orang mantap dan berpengalaman sahaja yang berani memberikan ceramah ketika itu. Hasil bimbingan mereka memang berbaloi kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas di media cetak. Begitu juga Ibrahim Ahmad ( Muzium Negara  KL ), Ahmad Nayan (Petronas) adalah juga pembimbing yang amat berkalibar dalam menyampaikan ceramah.

kalau diawal tadi saya menyebut nama-nama syarikat pembekal fotografi, ia adalah kerana syarikat ini memperkenalkan produk baharu. Oleh itu saya adalah antara orang bernasib baik dapat ikut serta. Di sinilah peranan Dr Mohamed Omar selaku ketua akan membawa atau menyuruh saya dan Khalil ikut serta.

Ulasan